Assalamualaikum...

Para pengunjung yang dikasihi!
Blog ini menyajikan info-info tentang apa yang saya ajar, minat dan rasa nak kongsi. Kalau sama-sama minat dan rasa blog ini bermanfaat tu bagus la. Boleh kita link. Salam ukhuwwah!!!

Monday, July 27, 2009

Tahap kesedaran terhadap undang-undang pekerjaan masih rendah di negara ini

Mohd Sabri Said
Mon | Jul 27, 09 | 1:55:34 pm MYT

KEPALA BATAS, 27 Julai (Hrkh) - Kurangnya kesedaran di kalangan rakyat tentang undang-undang pekerjaan di negara ini mendorong pihak majikan melakukan apa sahaja tindakan termasuk membuang pekerja sesuka hati kata, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahamud.

Baginya, seseorang pekerja sebelum membuat pilihan sepatutnya terlebih dahulu mengetahui undang-undang serta apa kelebihan yang diperolehi dalam pekerjaan itu.

Ramai katanya, terlupa bila diri ditawarkan pekerjaan tidak kira dalam sektor mana sekalipun kerana yang penting ialah kefahaman melaksanakan pekerjaan sebagai keperluan diri, keluarga, masyarakat, pemimpin perseorangan atau negara.

"Lazimnya di Malaysia kesedaran masyarakat tentang kebajikan pekerjaan masih rendah sehingga pihak majikan melaksanakan berbagai cara untuk membuang pekerja tanpa melalui proses yang dikehendaki oleh lunas undang-undang," tambahnya ketika berucap dalam Wacana Kebangsaan Kali Ke-4 sempena Perhimpunan Pekerja yang diadakan di Dewan Komplek Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam, Kepala Batas semalam.

Memandangkan isu ini masih dipandang remeh oleh sebahagian besar pekerja maka nasib dan maruah mereka tidak terbela tambahan lagi negara yang mementingkan keuntungan semata-mata.

Satu lagi yang menjadi kegusaran MTUC sehingga hari ini ialah majikan memberikan gaji yang begitu rendah serta tidak langsung memikirkan untuk menubuhkan kesatuan di kalangan pekerja untuk pembelaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan di era kemelesetan ekonomi global.

Di sektor industri dan pembuatan lazimnya peristiwa itu berlaku yang menyebabkan kehilangan fokus dalam kehidupan bahkan ada yang berpisah kerana tidak tahan dengan konflik kewangan, kegawatan diri, kemurungan serta membawa kepada permasalahan sosial yang teruk.

"MTUC bukan boleh tolong semua tetapi kami akan berusaha sedaya mungkin untuk membantu. Sebelum terjadi sepatutnya pekerja sendiri tahu tanggungjawab dengan menubuhkan Kesatuan Sekerja untuk membela nasib mereka jika berlaku pembuangan pekerjaan atau pembayaran gaji yang tidak setimpal," jelasnya dalam program bertema 'Selamatkan Pekerja Di Era Kemelesetan Ekonomi' anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pekerja PAS Pulau Pinang, Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kepala Batas serta Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB).

Justeru, untuk mengelak daripada terus ditindas maka pekerja di semua sektor wajar memahami tanggungjawab di samping kebajikan yang seharusnya didapati sebagai pekerja.

Tambahan lagi, soal berkesatuan memang menjadi masalah terutamanya orang Melayu kemungkinan tidak mendapat pendedahan luas tentang tanggungjawab yang perlu di ketahui.

Ramai yang beranggapan seseorang yang bekerja di bidang industri sahaja merupakan pekerja dan patut hadiri perhimpunan pekerja walhal pengertian pekerja lebih menjangkau daripada itu di mana setiap orang yang bekerja di bawah majikan dianggap pekerja.

"Majikan yang baik ialah mereka yang menjagai pekerjanya dengan sempurna dari masa ke masa dan inilah budaya yang baik perlu ada pada jiwa seorang majikan," katanya mengharap satu perubahan besar dilakukan oleh kepimpinan negara agar pekerja tidak dianaktirikan dalam apa hal sekalipun.

Program Perhimpunan Pekerja 2009 itu turut diserikan dengan ceramah umum pada sebelah malam di Komplek Sukan MPSP dengan barisan ahli panel terdiri daripada Presiden PAS, Dato' Seri Abdu Hadi Awang, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri 2, Profesor P. Ramasamy dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf. - mns_

Sunday, July 26, 2009

Ditikam mati di mahkamah kerana bertudung


Oleh HAFIZAHRIL HAMID

ADALAH malang bagi umat Islam pasti sahaja akan keluar pelbagai telahan negatif tentang mereka ini terutama dari penduduk di Barat dan semua ini berlaku hanya disebabkan pengaruh gejala Islamofobia yang diuar-uarkan oleh Barat. Mereka ini telah dicap kebanyakan penduduk Barat sebagai ekstremis atau jumud semata-mata kerana tidak mengikut rentak mereka dalam berpakaian.

Maka tidak menghairankan kenapa orang di Barat sering saja membuat persepsi negatif yang adakalanya di luar batasan kemanusiaan.

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Marwa Ali El-Sherbini, seorang wanita yang berasal dari Mesir dan kemudian berhijrah ke Jerman merupakan satu peristiwa yang menyayat hati namun pada masa yang sama membuktikan isi hati sebenar penduduk Barat terhadap orang Islam walaupun tidak semua hanya kerana terlalu dipengaruhi Islamofobia.

Siapa sebenarnya Marwa Ali El-Sherbini yang tiba-tiba menjadi ikon orang Islam yang tertindas di Barat. Beliau hanyalah orang biasa yang cuba menyara hidup dengan menumpang di sebuah negara asing untuk kemajuan diri dan keluarga.

Marwa yang dilahirkan pada 1977 di Mesir telah berpindah ke Jerman pada 2005. Pada 2008 beliau dan keluarga berpindah ke Dresden setelah suaminya Elwi Ali-Okaz mendapat kerja sebagai pengkaji di Institut Max Planck dan Marwa pada masa yang sama bekerja di Hospital Universiti Dresden. Namun pengakhiran hidupnya yang sangat menyayat hati telah membuka banyak mata tentang bahaya gejala Islamofobia di kalangan masyarakat Barat.

Peristiwa pembunuhan yang dilakukan terhadapnya di dalam mahkamah ketika memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang bertindak memaki hamun dirinya kerana beliau adalah seorang beragama Islam dan bertudung merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal setiap manusia yang siuman.

Segalanya bermula pada bulan Ogos 2008 apabila lelaki berkenaan Alex W. seorang warga Jerman tetapi dilahirkan di Perm Russia menjerit ke arah Marwa di sebuah padang permainan kanak-kanak di Dresden kerana bertelagah berebut menggunakan buaian untuk anak buahnya dengan anak lelaki Marwa.

Wanita berusia 32 tahun itu telah digelar sebagai pengganas Islam dan pelacur hanya kerana beliau memakai tudung. Kejadian tersebut berlaku untuk beberapa ketika walaupun terdapat antara pengunjung taman permainan cuba menghalang lelaki berkenaan. Dia hanya berhenti setelah polis datang tidak berapa lama kemudian.

Alex kemudiannya telah dituduh melakukan fitnah terhadap Marwa dan didapati bersalah oleh mahkamah serta didenda sebanyak 780 Euro. Semasa perbicaraan berlangsung Alex merayu hukuman dikurangkan kerana mendakwa manusia seperti Marwa bukanlah seorang manusia sebenar oleh itu dia tidak boleh dihina.

Akibat dari dakwaan secara terbuka ini, peguam bela telah merayu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap Alex. Oleh itu pendengaran rayuan kes ini diadakan di sebuah mahkamah di Dresden pada 1 Julai lalu.

Ketika kejadian tersebut lapan orang berada dalam mahkamah termasuklah tiga hakim, seorang pendakwaraya, Alex dan peguamnya serta Marwa, suaminya Elwi Ali Okaz dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Malangnya tiada sebarang pegawai keselamatan berada di situ dan tidak ada sebarang rutin pemeriksaan untuk memastikan tiada sebarang senjata merbahaya di bawa masuk ke dalam mahkamah.

Sebaik sahaja Marwa selesai memberikan keterangannya, Alex, bertindak meluru ke arah beliau sebelum menikamnya sebanyak 18 kali sambil menjerit "anda tidak layak untuk hidup". Suami beliau, Elwi yang cuba mempertahankan Marwa turut ditikam.

Melihat kejadian ini, mereka di dalam mahkamah bertindak memanggil seorang anggota polis yang sedang memberi keterangan di mahkamah berhampiran namun malangnya suami Marwa ditembak di kaki kerana anggota polis itu menyangka Elwi sebagai penyerang.

Elwi cedera parah akibat peristiwa ini dan berada dalam koma selama dua hari namun malangnya Marwa yang cedera parah mati ditempat kejadian. Lebih menyayatkan hati kematian Marwa ini turut membunuh anak yang dikandungnya berusia tiga bulan.

Alex telah ditangkap di tempat kejadian dan kini sedang ditahan reman untuk siasatan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan bunuh terhadap Elwi. Namun lelaki kejam ini dilaporkan masih belum memberi sebarang pengakuan kepada pihak penyiasat dan perbicaraan dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya pada hujung 2009 atau awal tahun 2010.

Peristiwa ini pada awalnya tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak media di Jerman dan ia hanya dilaporkan di halaman belakang akhbar-akhbar di sana.

Hanya setelah tunjuk perasaan panas yang dicetuskan oleh ribuan rakyat Mesir yang menetap di Jerman kerana menentang Islamofobia barulah kerajaan Jerman yang sebelum ini hanya mendiamkan diri menyatakan kesedihan dan kekesalan tentang pembunuhan Marwa.

Sesungguhnya peristiwa pembunuhan Marwa ini berpunca dari peningkatan kebimbangan Islamofobia yang semakin ketara terutama di negara Barat. Malah media-media utama di Mesir menyatakan kematian Marwa ini sebagai "mati syahid seorang pejuang berhijab".

Sememangnya gejala Islamofobia ini telah diwujudkan bagi meningkatkan semangat kebencian terhadap orang Islam dari mereka yang bukan beragama Islam. Cubaan menggambarkan orang Islam sebagai pengganas yang bertanggung jawab terhadap pelbagai kejadian dan kemusnahan di seluruh dunia merupakan satu tuduhan yang sangat dangkal dan berniat jahat.

Oleh itu usaha untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam ini perlu dilakukan segera. Namun ini tidaklah bermaksud darah perlu dibayar dengan darah kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak adalah tidak menghairankan peristiwa pembunuhan seperti Marwa ini akan berulang malah mungkin lebih teruk lagi pada masa depan.

Sumber : Utusan Malaysia 26/07/2009

Sunday, July 5, 2009

Hakikat Insan

Perkataan Al-Insan dari segi bahasa merujuk kepada dua perkataan yang boleh diambil daripada pertama perkataan ‘nasiya - yansa’ iaitu lupa. Kedua merujuk kepada perkataan ‘Anisa – Yaknisu’ iaitu mesra, jinak. Dari sini boleh difahami bahawa manusia itu bersifat pelupa, Lupa ada baik dan buruk. Baiknya kerana lupalah manusia nampak bahagia dan ceria. Jika manusia tidak lupa kesedihan, kesakitan, kepiluan dan sebagainya. Nescaya manusia akan sugul sentiasa. Kedua sifat mesra dan jinak. Manusia secara fitrah akan menerima dan mengingati sesuatu apabila dia biasa serta selalu bersama sesuatu itu. Contohnya seseorang sukar melupakan wajah ibu bapanya walau sekian lama berpisah. Contoh lain orang yang mengamalkan solat sudah tentu tidak akan lupa hafalan Fatihahnya berbanding dengan ayat-ayat lain kekadang terlupa kerana jarang-jarang diulang. Jadi manusia mempunyai kedua-dua sifat lupa dan ingat. Kedua-dua perlu diurus oleh manusia itu sendiri. Jika cenderung kepada lupa maka banyak perkara akan bersifat negatif. Sebaliknya jika sifat jinak dan mesra yang dijadikan kelaziman maka sesuatu yang baik akan terhasil. Contoh, ilmu yang dipelajari jika selalu dibaca dan diulang kaji akan lekat di hati. Malah jika diamalkan ia akan sebati di dalam diri.

Namun manusia akan lebih mengenal diri dengan lebih objektif dan jelas jika mendalami tafsir-tafsir surah Al-Insan:

1. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda Yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

3. kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

4. (dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa Yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka Yang menjulang-julang.

5. Sesungguhnya orang-orang Yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman Yang bercampur Dengan "Kafur", -

6. Iaitu sebuah mata air (di Syurga), Yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) Dengan aliran Yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.

Teruskan sehingga akhir ayat…. Semoga dapat mengenal diri dan Tuhan Rabbul Jalil.