Friday, March 25, 2016

Puasa dan Sains

Saintis Neuro Temui Puasa Dua Kali Seminggu Cegah Kerosakan Otak
By Editor · On 26/02/2016
Oleh : Samhani Ismail

“Puasa dua kali seminggu memberi pertahanan kepada otak!”.

Itulah antara penemuan yang dilakukan oleh kumpulan saintis yang diketuai oleh Mark P. Mattson, Profesor Neurosains daripada John Hopkins University, USA yang menjalankan kajian secara selular dan molekular ke atas sel tikus makmal dan manusia yang telah melihat kesan langsung berpuasa dua kali seminggu.

Apa yang menakjubkan, amalan ini bukan sahaja memberi kesan provokasi ke atas sel supaya lebih aktif, malah ia meransang pertumbuhan sel otak yang baru. Di samping itu, otak menjadi lebih rentan terhadap pertumbuhan plak yang menjadi pemacu kepada penyakit Alzheimer dan Parkinson yang ditakuti ramai.

“Puasa menyebabkan sel menjadi tertekan, namun pada konteks yang baik,” kata beliau sambil mengulas bahawa terdapat peningkatan dalam kebolehan menghadapi tekanan apabila seseorang itu mengamalkan puasa dua kali seminggu.

Kajian yang dilakukan Mattson ini tersiar di dalam jurnal Nature Reviews Neuroscience edisi Januari 2013. Beliau turut menekankan bahawa otak yang normal, jika terlebih makan akan menyebabkan keterujaan pada peringkat selular yang sukar dikawal sehingga boleh merosakkan fungsi otak. Mereka mendapati haiwan-haiwan eksperimental yang berpuasa dua kali seminggu ini membina pertahanan terhadap serangan strok dan mekanisma lain yang boleh merosakkan otak.

Beliau menerangkan secara mekanismanya bahawa apabila berpuasa, tenaga badan dapat dijimatkan kerana sistem penghadaman berehat untuk sekurang-kurangnya 12 jam. Justeru, tenaga dapat dijimatkan dan dapat dimanfaatkan oleh DNA untuk menghasilkan sel-sel baru dengan efisien. Sebelum ini, beliau turut menerbitkan artikel kajian klinikal ke atas pesakit asma yang mempunyai berat badan berlebihan yang telah menunjukkan pengurangan simtom-simtom asma selepas mengamalkan puasa selang sehari selama dua bulan. Walaubagaimanapun terdapat perbahasan di kalangan pengamal perubatan yang skeptikal terhadap amalan ini yang mengatakan puasa boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit.

“Apa yang kami temui di dalam kajian terhadap haiwan dan manusia ini adalah baik untuk kita mencabar otak kita, terutamanya dalam jangka waktu yang singkat sebegini,” tambah beliau.

Secara kesimpulannya, puasa sebagaimana yang diketahui umum adalah amalan sunat yang dianjurkan agama Islam dan menjadi amalan para Nabi dan Salafussoleh, ia bukan sahaja puasa badan iaitu menahan diri daripada makan minum, namun penghayatannya adalah lebih daripada itu, merangkumi segala aspek iaitu spiritual, mental, fizikal, kimiawi, seksual dan emosi.

Kita banyak diingatkan tentang kebaikan amalan ini daripada sudut keagamaan yang mana puasa mendekatkan hamba kepada Tuhan yang menciptanya, dan kini amalan mulia ini diselidiki secara empirikal di makmal-makmal dan membuktikan hikmah serta kebaikan pada amalan tersebut yang diamalkan secara patuh oleh umatnya.

Namun, penemuan kebaikan tuntutan ini secara eksperimental mengukuhkan lagi keyakinan dan melunaskan fitrah manusia yang bersifat ingin tahu. Maha Suci Allah, besar hikmahnya yang kita dapati daripada puasa ini dan sebenarnya lebih banyak lagi yang belum dirungkaikan, menjawab kebijaksaan Allah sebagai Sang Pencipta yang mengatur urus tadbir kehidupan manusia di dunia ini. Wallahu a’lam.

RUJUKAN

Michael Anft, Don’t Feed Your Head, John Hopkins magazine, Summer 2012
David Stipp, ScientificAmerican.com/jan2013
Arjun Walia, Neuroscientist Shows What fasting Does to Your Brain & Why Big Pharma Won’t Study It, Disember 2011
Mohd Husain Yee Abdullah, Science of Fasting: Aspect from Islam Perspective, Fasting and Sustainable Health Conference, 2010
Foto – fastday.com

No comments: