Tuesday, June 19, 2018

Kejahatan Belum Tentu Penamatnya Neraka, Kebaikan Belum Tentu Penamatnya Syurga

Kita boleh berusaha menjadi orang baik, tapi Allah Penentu segalanya. Oleh itu, jika kita "rasa" sudah jadi orang baik, kena beringat kerana "HATI JANTUNG MANUSIA" berada dalam kuasa Allah. Ia boleh berputar pada bila-bila masa. Oleh itu, jangan dipandang orang "kurang baik" pada mata kita sebagai insan paling jijik atau hinaو kerana Allah boleh ubah atau putar situasi mereka sekelip mata. Cukuplah DUA hadith ini menjadi TEGURAN UNTUK SAYA DAN KITA SEMUA:

HADITH PERTAMA:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَعْظَمِ الْمُسْلِمِينَ غَنَاءً عَنْ الْمُسْلِمِينَ فِي غَزْوَةٍ غَزَاهَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى الرَّجُلِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى هَذَا فَاتَّبَعَهُ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ وَهُوَ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ مِنْ أَشَدِّ النَّاسِ عَلَى الْمُشْرِكِينَ حَتَّى جُرِحَ فَاسْتَعْجَلَ الْمَوْتَ فَجَعَلَ ذُبَابَةَ سَيْفِهِ بَيْنَ ثَدْيَيْهِ حَتَّى خَرَجَ مِنْ بَيْنِ كَتِفَيْهِ فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُسْرِعًا فَقَالَ أَشْهَدُ أَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ وَمَا ذَاكَ قَالَ قُلْتَ لِفُلَانٍ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَلْيَنْظُرْ إِلَيْهِ وَكَانَ مِنْ أَعْظَمِنَا غَنَاءً عَنْ الْمُسْلِمِينَ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ لَا يَمُوتُ عَلَى ذَلِكَ فَلَمَّا جُرِحَ اسْتَعْجَلَ الْمَوْتَ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ إِنَّ الْعَبْدَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ وَإِنَّهُ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنَّهُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ وَإِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ

Ertinya: Sahl bin Sa’ad menceritakan dalam sebuah perang bersama Nabi SAW, ada seorang lelaki yang sangat berguna kepada tentera Muslimin (kerana perkasa dan handal berjuang). Baginda SAW melihat kepada lelaki itu lalu bersabda “Sesiapa yang mahu lihat lelaki yang tergolong dalam ahli neraka, maka lihatlah kepadanya.” Sejurus itu, seorang lelaki mengikuti pahlawan itu yang sangat hebat menggempur pihak Musyrikin sehinggalah dia terluka. (Kerana tidak sabar) dia membunuh diri dengan menikam hujung  pedangnya menembusi dadanya sampai belakang. Selepas itu lelaki yang mengekori pahlawan itu datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata, “Aku bersaksi bahawa Engkau memang seorang utusan Allah!” Baginda lalu bertanya: “Mengapa begitu?” Lelaki itu menjawab: “ Ini kerana tadi engkau berkata sesiapa yang mahu melihat ahli neraka, maka lihatlah dia. Aku dapati dia sangat berguna kepada tentera Muslimin (kerana perkasa dan handal berjuang). Aku tahu dia belum mati dalam perang itu, tapi setelah dia membunuh diri kerana mahu segera  mati (aku sedar kebenaran perkhabaranmu sebagai seorang utusan Allah).” Pada waktu itu baginda bersabda: “Seorang hamba boleh beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan dia ditetapkan Allah menjadi ahli syurga (pada akhir hayatnya). Atau dia boleh beramal dengan amalan ahli syurga  sedangkan dia ditetapkan Allah menjadi ahli neraka (pada akhir hayatnya). Ini tidak lain kerana penilaian Allah, bergantung pada (usahanya di) saat akhir hidupnya” (Sahih al-Bukhari).

HADITH KEDUA:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَوَاخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيبًا فَقَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لَا يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ اذْهَبْ فَادْخُلْ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلْآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ

Abu Hurayrah RA berkata Rasulullah SAW pernah berkata: “Ada dua lelaki Bani Isra’il yang selalu bertemu. Seorang antara mereka selalu melakukan dosa manakala yangs eorang lagi kuat beribadat. Si kaki ibadat selalu menegur temannya yang selalu melakukan dosa. Pada suatu hari (sekali lagi) dia melihat temannya sedang melakukan dosa. Dia lantas menegur “Berhentilah  kamu daripada dosa ini.” Temannya menjawab: “Biarkan aku! Adakah kamu ini diutus sebagai penjaga amalanku?” Si kaki ibadat lalu menjawab: “DEMI ALLAH! ALLAH TAK AKAN AMPUNKAN DOSAMU ATAU ALLAH TAK AKAN MASUKKAN KAMU KE DALAM SYURGA!” Allah kemudiannya mencabut nyawa kedua orang ini dan mereka berdua dikumpulkan menghadap Allah. Allah berkata kepada si kaki ibadat: “ADAKAH KAMU TAHU TENTANG DIRI-KU? ATAU ADAKAH KAMU MEMILIKI KUASA YANG ADA PADA TANGAN-KU?” Allah lalu berfirman kepada si pendosa: “Pergi dan masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku!” Kemudian dikatakan pula kepada si kaki ibadat: “BAWA DIA KE NERAKA.” (Sunan Abu Dawud).

Apabila lihat teman kita kurang baik, ajaklah dia kepada kebaikan dengan berhemah tanpa menghukum. Jika dia degil, doakan hidayah untuknya. Mudah-mudahan keikhlasan kita menjadi sebab dia berubah.

Kredit: Abdullah Bukhari @ 18 Jun 2018  -

No comments: