Assalamualaikum...

Para pengunjung yang dikasihi!
Blog ini menyajikan info-info tentang apa yang saya ajar, minat dan rasa nak kongsi. Kalau sama-sama minat dan rasa blog ini bermanfaat tu bagus la. Boleh kita link. Salam ukhuwwah!!!

Showing posts with label imej islam. Show all posts
Showing posts with label imej islam. Show all posts

Tuesday, April 19, 2011

Fahaman Akidah Klasik dan Moden



DALAM dunia tanpa sempadan, umat Islam sering disogokkan dengan kerencaman perkara yang boleh menggugat stamina keimanan. Antaranya, serangan pemikiran dan pemupukan nafsu amarah melalui media massa, Internet dan seumpamanya yang disifatkan sebagai me-nyimpang daripada kegunaan yang sebenar.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai yang kecundang dalam hidup, kusut fikiran, kecelaruan ilmu, materialistik, tersasul me-ngendalikan alam, bejat moralnya dan lebih buruk lagi, mudah menjual akidah mereka dengan harga yang murah.

Justeru, amat wajar kita berusaha memperbaiki keadaan supaya umat Islam mampu merealisasikan jaminan Allah sebagai firman-Nya yang bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada kejahatan dan yang beriman kepada Allah." - (Al Imran: 110).

Status umat unggul dan terbaik sudah tentu memerlukan komitmen padu semua pihak bagi menghayati ajaran Islam secara komprehensif seterusnya menghalang segala bentuk kemungkaran yang bermaharajalela.

Sebagai contoh, ketekunan kalangan sahabat Rasulullah menghayati ajaran Islam, sama ada mencakupi perkara akidah, syariat, akhlak, pengurusan hidup, budaya ilmu, menyebarkan dakwah dan seumpamanya sepatutnya menjadi daya rangsang kepada generasi mutakhir untuk turut menjadikan Islam sebagai sistem hidup menyeluruh.

Bagaimanapun, segala perkara, sama ada membabitkan ibadah khususiyah (khusus) dan ammah (umum), hendaklah dibina di atas tapak akidah agar menara amal yang tertegak tidak mudah goyah dan tumbang kerana pengaruh unsur asing.

Tambahan pula, prasyarat sesuatu amalan yang akan diterima mestilah berasaskan iman kepada Allah. Ini bersandarkan kepada firman-Nya yang bermaksud: "Maka sesiapa yang menghendaki agama lain daripada Islam, tidaklah akan diterima (agamanya itu) dan di akhirat nanti dia termasuk daripada kalangan yang rugi." - (Al-Imran: 85).

Jelaslah, akidah adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara yang merosakkan. Namun ia tetap berdepan dengan pelbagai cabaran yang bergerak ke arah memecahkan kubu iman di dalam setiap diri Muslim.

Buktinya, kegawatan nilai yang semakin parah, mengadakan pesta maksiat secara terbuka, rasuah, ajaran sesat dan sebagainya menambahkan lagi kecelaruan untuk menghayati Islam sebagai addin. Ini kerana kecederaan akidah sekali gus menjauhkan lagi jurang hubungan di antara hamba dan Tuhan.

Keadaan sebegini disebabkan banyaknya fenomena dan ancaman terhadap keutu-han akidah. Kalau dalam bentuk tradisionalnya seperti:

- Fahaman zindik yang membawa ajaran bahawa Tuhan berada di dalam diri atau seseorang itu Muhammad dan seumpamanya. Malah, membawa doktrin Allah bersifat seperti manusia. Ini kebanyakannya merebak melalui ilmu tarikat yang jauh me-nyimpang daripada ajaran sebenar.

- Fahaman jabariah yang membawa ajaran manusia bebas daripada sifat ikhtiar. Pada pendapat golongan ini, Tuhan berkuasa ke atas segalanya, sekali gus manusia tidak berupaya mengatur gerak geri mereka. Bahkan, segala perbuatan baik dan buruk semuanya ditentukan oleh Tuhan.

- Fahaman muktazilah yang beriktikad bahawa manusia sebagai pelaku mutlak ke atas segala perbuatan mereka. Mereka juga berkecenderungan menafikan mukjizat kalangan rasul dan karamah kalangan wali, menyatakan bahawa al-Quran adalah makhluk serta terlalu bersifat rasionalistik.

- Fahaman syiah yang memfasikkan atau mengkafirkan sesetengah sahabat, mempercayai sifat maksum di kalangan pemimpin atau imam mereka yang mengatasi kalangan nabi dan rasul.

Begitu juga, percayakan al-Quran akan sempurna apabila ia dibawa oleh Imam Mahdi yang dinanti-nantikan, iaitu Muhammad Hassan Al- Askari.

Ancaman dalam bentuk klasik ini masih lagi berjalan dalam masyarakat walaupun tidak begitu menonjol dalam sejarah semasa. Ada pun cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam dalam dunia moden hari ini adalah seperti:

- Fahaman sekularisme yang memisahkan agama daripada pangkuan perjalanan hidup seharian. Kesan daripada doktrin intelektual Barat, timbullah tanggapan bahawa agama sebagai urusan hidup individual serta tidak ada kena mengena dengan sosial.

Maka manusia terus leka dan lalai mengatur urusan hidup tanpa ditunjangi pegangan agama. Oleh itu, lahirlah pelbagai fenomena negatif yang membidas segala ketentuan agama yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan bermasyarakat.

- Fahaman materialisme yang menganggap manusia perlukan kebendaan sebagai segalanya tanpa menyedari keterikatan mereka dengan hukum alam bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan menemui kematian.

Oleh itu, manusia rakus mengejar kemewahan dunia sehingga lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba, pemimpin, pendidik, malah boleh membawa mereka ke arah kegelinciran akidah lantaran melihat manusia sebagai pemberi rezeki dan kemewahan.

- Gerakan misionari dan zionis yang selalu berusaha memporakperandakan pemikiran generasi muda Islam dengan mengatur segala agenda melemahkan generasi pelapis ini. Sebagai contoh, dengan program hiburan ala Barat seperti konsert liar, pergaulan bebas, temasya maksiat dan seumpamanya lagi.

- Fahaman saintisme yang fanatik, iaitu menolak al-Quran dan segala hadis sahih yang bertentangan dengan penemuan dan logikal sains walaupun manusia tidak berupaya mengkaji hakikat ilmu sains tanpa panduan wahyu.

- Fahaman liberalisme Barat yang memperjuangkan kebebasan manusia secara melampau, iaitu manusia mempunyai keinginan yang tidak boleh disekat dan kebebasannya adalah tidak terkawal. Dengan kata lain, mereka tidak lagi terikat dengan hukum halal dan haram, baik dan buruk, dan bermanfaat atau mendatangkan mudarat.

Atas desakan cabaran itu, umat Islam menjadi kucar-kacir dan tiada lagi keselarasan pemikiran serta meletakkan mereka sebagai umat yang lemah dan tidak bertamadun.

Ini disebabkan akidah sudah luntur dan pudar serta hilang serinya untuk menjadikan mereka sebagai umat yang terbaik dan disegani. Oleh hal demikian, perlu kepada membajai akidah agar ia selalu tumbuh segar dalam diri setiap Muslim, sama ada di kalangan kanak-kanak, remaja, orang dewasa, rakyat, pemimpin dan apa yang selainnya bagi menjamin kekebalan rohani tidak berjaya ditembusi oleh unsur-unsur tadi.

Bagi memperkasa keimanan, selain daripada menunaikan segala ibadat yang ditentukan, harus juga melihat kepada persekitaran semasa yang boleh dijadikan medium perantara antara ilmu dan masyarakat.

Sebagai contoh, kemudahan Internet perlu digunakan sebagai alat komunikasi mempertajam akidah dengan keterangan mengenai caba-ran dan cara mengatasinya. Begitu juga dengan media massa yang tidak kurang hebatnya mendominasi dunia maklumat semasa perlu memuatkan bahan bermanfaat serta berupaya mengasah minda masyarakat ke arah yang lebih positif, terutama dalam ilmu tauhid dengan corak pembawaan yang lebih segar.

Dunia penulisan, seminar, bengkel, keterangan lisan dan majlis ilmu perlu juga diketengahkan sebagai wadah penyampai maklumat. Apabila semuanya dapat direalisasikan, semoga akidah sebagai asas segalanya dapat menunjangi segala amalan dan urusan hidup di dunia.

Kesimpulannya, umat Islam perlu melawan segala ancaman dan cabaran akidah dengan dalil yang relevan dan metodologi yang tidak ketinggalan zaman serta tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

Oleh itu, semua pihak perlu menjalin kerjasama seperti terkandung dalam pepatah Arab: "Tiang dunia ini ada empat perkara - ilmu ulama, keadilan pemimpin, sifat pemurah dan doa orang fakir."

sumber : http://members.tripod.com/~siti_2/01/36.html