Assalamualaikum...

Para pengunjung yang dikasihi!
Blog ini menyajikan info-info tentang apa yang saya ajar, minat dan rasa nak kongsi. Kalau sama-sama minat dan rasa blog ini bermanfaat tu bagus la. Boleh kita link. Salam ukhuwwah!!!

Sunday, July 26, 2009

Ditikam mati di mahkamah kerana bertudung


Oleh HAFIZAHRIL HAMID

ADALAH malang bagi umat Islam pasti sahaja akan keluar pelbagai telahan negatif tentang mereka ini terutama dari penduduk di Barat dan semua ini berlaku hanya disebabkan pengaruh gejala Islamofobia yang diuar-uarkan oleh Barat. Mereka ini telah dicap kebanyakan penduduk Barat sebagai ekstremis atau jumud semata-mata kerana tidak mengikut rentak mereka dalam berpakaian.

Maka tidak menghairankan kenapa orang di Barat sering saja membuat persepsi negatif yang adakalanya di luar batasan kemanusiaan.

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Marwa Ali El-Sherbini, seorang wanita yang berasal dari Mesir dan kemudian berhijrah ke Jerman merupakan satu peristiwa yang menyayat hati namun pada masa yang sama membuktikan isi hati sebenar penduduk Barat terhadap orang Islam walaupun tidak semua hanya kerana terlalu dipengaruhi Islamofobia.

Siapa sebenarnya Marwa Ali El-Sherbini yang tiba-tiba menjadi ikon orang Islam yang tertindas di Barat. Beliau hanyalah orang biasa yang cuba menyara hidup dengan menumpang di sebuah negara asing untuk kemajuan diri dan keluarga.

Marwa yang dilahirkan pada 1977 di Mesir telah berpindah ke Jerman pada 2005. Pada 2008 beliau dan keluarga berpindah ke Dresden setelah suaminya Elwi Ali-Okaz mendapat kerja sebagai pengkaji di Institut Max Planck dan Marwa pada masa yang sama bekerja di Hospital Universiti Dresden. Namun pengakhiran hidupnya yang sangat menyayat hati telah membuka banyak mata tentang bahaya gejala Islamofobia di kalangan masyarakat Barat.

Peristiwa pembunuhan yang dilakukan terhadapnya di dalam mahkamah ketika memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang bertindak memaki hamun dirinya kerana beliau adalah seorang beragama Islam dan bertudung merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal setiap manusia yang siuman.

Segalanya bermula pada bulan Ogos 2008 apabila lelaki berkenaan Alex W. seorang warga Jerman tetapi dilahirkan di Perm Russia menjerit ke arah Marwa di sebuah padang permainan kanak-kanak di Dresden kerana bertelagah berebut menggunakan buaian untuk anak buahnya dengan anak lelaki Marwa.

Wanita berusia 32 tahun itu telah digelar sebagai pengganas Islam dan pelacur hanya kerana beliau memakai tudung. Kejadian tersebut berlaku untuk beberapa ketika walaupun terdapat antara pengunjung taman permainan cuba menghalang lelaki berkenaan. Dia hanya berhenti setelah polis datang tidak berapa lama kemudian.

Alex kemudiannya telah dituduh melakukan fitnah terhadap Marwa dan didapati bersalah oleh mahkamah serta didenda sebanyak 780 Euro. Semasa perbicaraan berlangsung Alex merayu hukuman dikurangkan kerana mendakwa manusia seperti Marwa bukanlah seorang manusia sebenar oleh itu dia tidak boleh dihina.

Akibat dari dakwaan secara terbuka ini, peguam bela telah merayu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap Alex. Oleh itu pendengaran rayuan kes ini diadakan di sebuah mahkamah di Dresden pada 1 Julai lalu.

Ketika kejadian tersebut lapan orang berada dalam mahkamah termasuklah tiga hakim, seorang pendakwaraya, Alex dan peguamnya serta Marwa, suaminya Elwi Ali Okaz dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Malangnya tiada sebarang pegawai keselamatan berada di situ dan tidak ada sebarang rutin pemeriksaan untuk memastikan tiada sebarang senjata merbahaya di bawa masuk ke dalam mahkamah.

Sebaik sahaja Marwa selesai memberikan keterangannya, Alex, bertindak meluru ke arah beliau sebelum menikamnya sebanyak 18 kali sambil menjerit "anda tidak layak untuk hidup". Suami beliau, Elwi yang cuba mempertahankan Marwa turut ditikam.

Melihat kejadian ini, mereka di dalam mahkamah bertindak memanggil seorang anggota polis yang sedang memberi keterangan di mahkamah berhampiran namun malangnya suami Marwa ditembak di kaki kerana anggota polis itu menyangka Elwi sebagai penyerang.

Elwi cedera parah akibat peristiwa ini dan berada dalam koma selama dua hari namun malangnya Marwa yang cedera parah mati ditempat kejadian. Lebih menyayatkan hati kematian Marwa ini turut membunuh anak yang dikandungnya berusia tiga bulan.

Alex telah ditangkap di tempat kejadian dan kini sedang ditahan reman untuk siasatan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan bunuh terhadap Elwi. Namun lelaki kejam ini dilaporkan masih belum memberi sebarang pengakuan kepada pihak penyiasat dan perbicaraan dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya pada hujung 2009 atau awal tahun 2010.

Peristiwa ini pada awalnya tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak media di Jerman dan ia hanya dilaporkan di halaman belakang akhbar-akhbar di sana.

Hanya setelah tunjuk perasaan panas yang dicetuskan oleh ribuan rakyat Mesir yang menetap di Jerman kerana menentang Islamofobia barulah kerajaan Jerman yang sebelum ini hanya mendiamkan diri menyatakan kesedihan dan kekesalan tentang pembunuhan Marwa.

Sesungguhnya peristiwa pembunuhan Marwa ini berpunca dari peningkatan kebimbangan Islamofobia yang semakin ketara terutama di negara Barat. Malah media-media utama di Mesir menyatakan kematian Marwa ini sebagai "mati syahid seorang pejuang berhijab".

Sememangnya gejala Islamofobia ini telah diwujudkan bagi meningkatkan semangat kebencian terhadap orang Islam dari mereka yang bukan beragama Islam. Cubaan menggambarkan orang Islam sebagai pengganas yang bertanggung jawab terhadap pelbagai kejadian dan kemusnahan di seluruh dunia merupakan satu tuduhan yang sangat dangkal dan berniat jahat.

Oleh itu usaha untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam ini perlu dilakukan segera. Namun ini tidaklah bermaksud darah perlu dibayar dengan darah kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak adalah tidak menghairankan peristiwa pembunuhan seperti Marwa ini akan berulang malah mungkin lebih teruk lagi pada masa depan.

Sumber : Utusan Malaysia 26/07/2009

Sunday, July 5, 2009

Hakikat Insan

Perkataan Al-Insan dari segi bahasa merujuk kepada dua perkataan yang boleh diambil daripada pertama perkataan ‘nasiya - yansa’ iaitu lupa. Kedua merujuk kepada perkataan ‘Anisa – Yaknisu’ iaitu mesra, jinak. Dari sini boleh difahami bahawa manusia itu bersifat pelupa, Lupa ada baik dan buruk. Baiknya kerana lupalah manusia nampak bahagia dan ceria. Jika manusia tidak lupa kesedihan, kesakitan, kepiluan dan sebagainya. Nescaya manusia akan sugul sentiasa. Kedua sifat mesra dan jinak. Manusia secara fitrah akan menerima dan mengingati sesuatu apabila dia biasa serta selalu bersama sesuatu itu. Contohnya seseorang sukar melupakan wajah ibu bapanya walau sekian lama berpisah. Contoh lain orang yang mengamalkan solat sudah tentu tidak akan lupa hafalan Fatihahnya berbanding dengan ayat-ayat lain kekadang terlupa kerana jarang-jarang diulang. Jadi manusia mempunyai kedua-dua sifat lupa dan ingat. Kedua-dua perlu diurus oleh manusia itu sendiri. Jika cenderung kepada lupa maka banyak perkara akan bersifat negatif. Sebaliknya jika sifat jinak dan mesra yang dijadikan kelaziman maka sesuatu yang baik akan terhasil. Contoh, ilmu yang dipelajari jika selalu dibaca dan diulang kaji akan lekat di hati. Malah jika diamalkan ia akan sebati di dalam diri.

Namun manusia akan lebih mengenal diri dengan lebih objektif dan jelas jika mendalami tafsir-tafsir surah Al-Insan:

1. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda Yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

3. kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

4. (dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa Yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka Yang menjulang-julang.

5. Sesungguhnya orang-orang Yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman Yang bercampur Dengan "Kafur", -

6. Iaitu sebuah mata air (di Syurga), Yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) Dengan aliran Yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.

Teruskan sehingga akhir ayat…. Semoga dapat mengenal diri dan Tuhan Rabbul Jalil.

Monday, June 29, 2009

AMALAN-AMALAN YANG DIANGGAP SUNNAH PADA BULAN REJAB

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus*

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke lima dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar. Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) ; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Lantaran itu telah tersebar dalam masyarkat kita bahawa terdapat amalan-amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena bulan Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

PUASA REJAB
Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama pada bulan Rejab, Nisfu Rejab (15hb Rejab) dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka dibawa beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Ibnu Rajab di dalam al-Mughni:

Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat.

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.
Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: “Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: “Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif

Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab

Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854.

Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:

Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152.

Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak.

SOLAT BULAN REJAB
Terdapat beberapa solat yang dikhususkan sempena bulan Rejab seperti solat pada malam pertama bulan Rejab, solat Nisfu Rejab, solat pada malam 27hb Rejab dan yang paling masyhur dikalangan orang ramai iaitu solat yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib. Kesemua dalil tentang solat-solat khusus sempena bulan Rejab ini adalah sama ada dha’if (lemah) atau mawdhu’ (palsu) sebagaimana yang telah diperkatakan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab. Tentang solat Raghaib ini Imam al-Nawawi yang juga merupakan seorang tokoh dalam mazhab Syafie telah berkata di dalam Fatawa an-Nawawi (ms. 40):

Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela, mungkar dan sangat diingkari, yang mencakup kemungkaran- kemungkaran sehingga harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya. Kepada para penguasa harus melarang manusia dari melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya
Para ulamak telah menulis buku-buku khusus tentang masalah ini untuk mengingkari dan mencelanya serta membodohkan pelakunya. Janganlah kita terperdaya oleh banyaknya orang yang melakukannya di banyak negara Islam dan jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali) dan sebagainya kerana kedua solat itu iaitu (solat Raghaib dan solat Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil.

UMRAH PADA BULAN REJAB
Terdapat juga pandangan bahawa pada bulan Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu menurut ‘Aisyah r.a Rasulullah s.a.w tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada bulan Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a sedang duduk di samping bilik Saidatina ‘Aisyah r.a ... Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah? Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah. Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada bulan Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.
Dia (mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu ‘Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman? Dia berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni ‘Aisyah) ikut bersama baginda dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1775 & 1776.

Ternyata Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab dan tidak ada juga riwayat yang sabit daripada baginda yang menganjurkan umrah dikerjakan pada bulan Rejab. Oleh itu pendapat yang lebih tepat adalah bahawa ibadah umrah tidak memiliki keutamaan tertentu sekiranya dikerjakan pada bulan Rejab malah tidak ada dalil yang kuat menunjukkan ianya disunnahkan untuk dikerjakan pada bulan tersebut. Riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat di kalangan generasi salaf yang mengerjakan umrah pada bulan Rejab bukan menunjukkan mereka telah berniat untuk mengkhususkan bulan itu untuk berumrah. Namun tujuan mereka adalah untuk melaksanakan haji dan umrah dalam dua waktu atau perjalanan yang berbeza.

‘ATIRAH BULAN REJAB
‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan ‘Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti di bawah.

Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ‘Atirah maka jawab baginda:

Sesiapa yang mahu menyembelih ‘Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, no: 4154

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkurban dan menyembelih ‘Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu ‘Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 1438.

Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan ‘Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah. Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan ‘Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5473.

Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:

Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-‘Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda “Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah” sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan ‘Atirah.

Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-‘Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah.

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ
Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-'Asqalani r.h:

Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.
Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, jilid. 7, ms. 203.

Selanjutnya di dalam kitab tersebut al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan pendapat para ulamak tersebut satu persatu. Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:

Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.

Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:

Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-if karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.

Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Hendaklah kita fahami bahawa apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut. Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada Ayyam al-Bidh, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.

Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain. Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.

Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h:

Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara orang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilakah terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya." - Rujuk As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 153-154.

Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya:

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718.

* Mohd Yaakub bin Mohd Yunus adalah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad dan beliau boleh dihubungi di http://akob73. blogspot. com/

Jika ada lagi perkara berbangkit atau dibincangkan di sini. Silakan.... komen dan perkongsian anda dialu-alukan...

LAGI LINK BERKAITAN:

HADIS BERKAITAN REJAB DAN SYAABAN

HADIS REJAB BULAN ALLAH, SYAABAN BULAN RASUL DAN RAMADAN BULAN UMMAT