Assalamualaikum...

Para pengunjung yang dikasihi!
Blog ini menyajikan info-info tentang apa yang saya ajar, minat dan rasa nak kongsi. Kalau sama-sama minat dan rasa blog ini bermanfaat tu bagus la. Boleh kita link. Salam ukhuwwah!!!

Wednesday, August 25, 2010

Kisah Benar - Gadis Bertudung



Ini adalah artikel yang dipetik dari FP Sirloin Skipper yang saya rasa amat baik untuk renungan semua..semoga kita semua mendapat hidayah daripadanya.

Kisah Benar gadis Bertudung..

"Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.

Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran. Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.

Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras, " cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"

Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak y ang masih kecil. Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.

Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik.

Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?" Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri" Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi......entah apa yang dah berlaku?

Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh...... lengan panjang pula tu...saya sendiri jadi bingung..bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib..ya, saya kata kan ajaib kerana dia berubah seratus peratus!

Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah... saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri..tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunat nya..dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan..Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya..

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik diberi kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.

Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang..hati berdebar-debar, tak dapat ditahan.....saya berlari masuk ke dalam rumah..saya lihat ibu menangis .. saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya........dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya"..air mata ini tak dapat ditahan lagi...

Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai...hingga sampai pada satu halaman yang menguakmisteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini. Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri..disitu tertera soal jawab antara adik dan isteri jiran kami itu. Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Annisa: aku hairan, wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari "mak cik.. wajah mak cik sangat muda dan cantik"

Isteri jiranku: Alhamdulillah ..sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati

Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam ..tapi masih kelihatan cantik??

Isteri jiranku: Subhanallah..sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak..siapakah yang boleh menolaknya?

Annisa: Mak Cik..selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung..tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai..sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung.. pendapat makcik bagaimana?

Isteri ji ranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan muhrim kita semuanya akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT nanti dan tudung adalah perlindungan untuk wanita ..

Annisa: tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok..

Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain, tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami...

Annisa: apakah hakikat tudung ?

Isteri jiranku :Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan muhram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia .. sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat, lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu.. itulah hakikat tudung..

Annisa: mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung... mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai nisa .ingatlah akan satu hari dimana seluruh manusia akan dibangkitkan..ketika ditiup sangkakala yang kedua, .pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis..menangis kerana hari itu Allah SWT murka...

Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab..Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita ditanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung. . . .Allah SWT. Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya..


Subhanallah ...

Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu "buta, tuli dan bisu.." wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain muhrimnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia.. "Tak tahan airmata ini pun jatuh". Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya.. Amin..Subhanallah.

Tuesday, July 6, 2010

Benarkah Isra' Mikraj Berlaku Pada 27 Rejab?



Apabila tibanya bulan Rejab sudah menjadi kelaziman umat Islam di seluruh dunia memperingati peristiwa Isra dan Mikraj. Sambutan tersebut seolah-olah ianya berlaku benar-benar pada bulan rejab tanpa ada sebarang keraguan lagi. Tetapi hakikatnya yang sebenar, para ulama yang menulis berkaitan dengan sejarah tersebut menukilkan perbezaan pendapat mengenainya. Di sini saya cuba nukilkan pandangan-pandangan tersebut.

BILAKAH IA BERLAKU??

Terdapat beberapa pendapat ahli sejarah Islam:

1. Ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Saad di dalam 'Thobaqatnya' seperti yang dinukilkan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buthi, dan juga disebutkan oleh Ibnu Abdil Baarr

2. Ia berlaku di awal-awal kebangkitan baginda menjadi Rasul.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Asakir, tetapi ini merupakan pendapat yang tidak sohih menurut Ibnu Kathir, dan Ibnu Hajar menghukumnya 'Syaz' (sangat dhaif)

3. Ia berlaku pada tahun ke sepuluh selepas kebangkitan.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Ishaq

4. Ia berlaku setahun sebelum hijrah
Ini berdasarkan riwayat Al-Baihaqi dari Az-Zuhri, Ibnu Lahiiah dari 'Urwah Az Zubair. Ia merupakan pendapat Imam Nawawi. Ibnu Hazm mendakwa telah adanya kesepakatan (ijma') tentang tarikh ini tetapi Ibnu Hajar menolak dakwaan tersebut.

5. Ia berlaku 16 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Al-Hakim dari As Suddiy

6. Ia berlaku 8 bulan sebelum Hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnul Jauzi,

7. Ia berlaku 6 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ar Rabie bin Salim

8. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah.
Ini pendapat Ibrahim Al-Harbiy

9. Ia berlaku 14 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Abdil Barr

10. Ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Faris.

11. Ia berlaku 17 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al-Baihaqi dari as Suddiy
12. Ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Athir.

13. Ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah.
Al-Qurthubi dan An Nawawi menukilkan pendapat ini dari Az Zuhriy, dan ditarjihkan oleh Qhadi 'Iyad, tetapi ditolak oleh Ibnu Hajar.

BULAN APAKAH IA BERLAKU??

Juga terdapat beberapa pandangan yang berbeza.

1. Ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Lahiiah dari Urwah Az Zubair. Menurut riwayat Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Abbas ia berlaku pada 12 Rabiul Awwal, tetapi Al-Hafiz Ibnu Kathir mendhaifkan riwayat ini. Di antara ulama yang memilih pendapat ini ialah Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi

2. Ia berlaku pada bulan Zulqaedah.
Ini merupakan pendapat As Suddiy

3. Ia berlaku pada bulan Rejab.
Ini merupakan pendapat Ibnu Hazm, dan juga Imam Nawawi di dalam kitabnya 'Ar-Raodhoh' ..Ada yang menyatakan 27 Rejab dan ada yang menyatakan ia berlaku pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab. Ibnu Kathir juga mendhaifkan riwayat ini.

4. Ia berlaku pada bulan Ramadhan
Ini pendapat yang diputuskan oleh Al Waqidiy, dan riwayat Ibnu saad dari Ibnu Abi Saburah

5. Ia berlaku pada bulan Syawwal.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al Baihaqi dari As Suddiy

6. Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir.
Ia merupakan pendapt Ibrahim Al-Harbiy dan ditarjihkan oleh Ibnu Munir.

KESIMPULAN.

1. Para ulama pengkaji sirah dan ahli hadis berselisih pendapat mengenai tarikh Isra' Mi'raj dengan perselisihan yang begitu banyak.
2. Tiada riwayat yang benar-benar sahih dan begitu jelas tentang tarikh peristiwa tersebut berlaku.
3. Apa yang penting ialah pengajaran dari peristiwa tersebut bukanlah tarikhnya. Jika tarikhnya penting nescaya pasti akan ada riwayat yang jelas dan sohih dari sahabat-sahabat baginda.
4. Memperingati Isra' dan Mikraj di bulan Rejab adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dan Ibnu Hazm RahimahumaLlah.
5. Tidak mengetahui tarikh sebenar Isra' dan Mikraj merupakan kejahilan yang tidak memudharatkan aqidah dan amalan.
6. sambuta yg dilakukan di kebanyakan negara umat Islam adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi RA

RUJUKAN.
1.Al Bidayah Wan Nihayah, Ibnu Kathir
2. Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqallani.
3. Tafsir Al-Quran Al Adzhim, Ibnu Kathir.
4. Al- Isra' Wal Mikraj, Musa Muhammad Al-Aswad.
5. Qissothul Mikraj, Abuuna Al Marhum Tuanguru Hj Yaakub Pesagi
6. Fiqh Sirah, Syeikhuna Dr Said Ramadahn Al Buthi
7. Al Mustafad Min Qasasil Quran, Dr Abdul Karim zaidan.
8. Sirah Rasululah, Dr Muhammad Habash
9. Muhammad Rasulullah, Syeikh As Sodiq 'Urjun

Sumber : www.al-muqry.blogspot.com


Tuesday, October 20, 2009

Gempar 35 Sejadah Solat




Okt 20, 09 6:29pm
Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.

Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan.

"Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama," katanya.

Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri.

Manakala bagi pembantu penguasa pejabat agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat.

"Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya.

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada jabatan agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu.

Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat.
BERNAMA

Sumber : Malaysiakini.com (20/10/2009)