Monday, September 14, 2009

Polemik Rasulullah Seorang Ummi


OLEH SITI AINIZA KAMSARI

DARI kecil, iaitu sejak kita mula mengenal membaca dan menulis telah sering ditekan mengenai sebuah 'ajaran' bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf!

Malah kita sanggup mempertahankan ajaran itu apabila ada pihak cuba mengatakan yang sebaliknya, mustahil Nabi Muhammad seorang yang buta huruf!

Adakah ini kerana jika mengatakan baginda sebenarnya tahu membaca dan menulis maka itu tidak memberikan satu pengesahan bahawa baginda seorang Rasul, utusan Allah?

Benar, yang dimaksudkan dengan perkataan ummi' adalah seseorang yang tidak tahu, tidak mempunyai kepandaian dan kemahiran untuk membaca dan menulis, iaitu merujuk kepada perkataan ummbererti ibu.

Iaitu lazimnya keadaan di mana seperti janin atau bayi yang masih dalam kandungan rahim ibunya, bererti tidak tahu apa-apa, apatah lagi membaca dan menulis.

Malah ini sebagaimana telah disebutkan dalam surah al-A'raf ayat 157 bahawa: Nabi Muhammad seorang ummi; iaitu mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka".

Ini menyebabkan kita sering kali mengaitkan buta huruf itu dengan kebodohan (jahlun) tetapi Nabi sebenarnya seorang yang amat pintar. Jadi bagaimana kita dapat kaitkan seorang yang ummi itu sedangkan ketika usia mudanya pernah menjalankan perdagangan malah membawa balik keuntungan yang sangat besar.

Kejayaan baginda melakukan transaksi perniagaan ini menjadi satu petunjuk bahawa baginda seorang yang mampu membaca dan menulis.

Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bahawa Nabi pernah bersabda: "Jika kalian menulis kalimat Bismillahirrahim, maka perjelaskanlah huruf sin di situ".

Ini menunjukkan baginda seorang yang bukan sahaja mengenal huruf tetapi baginda tidak mempunyai masalah dalam aspek tulisan dan penulisan.

Ini seperti gambar yang dipaparkan di ruangan ini antara surat-surat yang ditulis oleh baginda bagi menjayakan misi dakwah terutama kepada pemerintah-pemerintah sesebuah kerajaan.

Jadi, mustahil seorang Rasul seperti baginda seorang yang bodoh. Apatah lagi mengingatkan kepada kita salah satu sifat wajib yang ada bagi seorang Rasul itu adalah fathonah, iaitu cerdas dan pandai.

'Ajaran' Nabi Muhammad seorang yang benar-benar buta huruf dijadikan alasan atau perisai yang menahan baginda dari dituduh, sebagai individu yang menulis al-Quran.

Andai kata baginda tahu menulis membaca, maka kita dikatakan tidak mempunyai sebarang perisai lain yang boleh digunakan bagi menangkis tuduhan tersebut.

Tidak dinafikan persoalan sama ada Nabi Muhammad seorang yang buta huruf ataupun tidak, telah menjadi polemik dan perbincangan oleh pelbagai pihak malah sehingga kini pun ia masih dibicarakan.

Salah satu pendapat bagi menafikan baginda seorang yang ummi iaitu faktor budaya masyarakat Arab Jahiliah itu sendiri.

Orang Arab ketika itu dikatakan tidak mempunyai budaya membaca dan menulis yang kuat kerana mereka mempunyai kelebihan dalam mengingat kalimat-kalimat dengan begitu sempurna. Tanpa ada sebaris ayat atau perkataan yang tertinggal.

Bagi mereka, menghafal 100 bait-bait puisi dan syair gurindam sudah cukup dengan sekali mendengar! Kalau mereka mempunyai kebolehan yang sehebat itu maka tidak perlulah lagi mereka menulis.

Malah dikatakan jika semua apa yang mereka semat dan hafal dalam ingatan itu ditulis, maka akan terdapat beribu-ribu lembaran buku dihasilkan bagi menampung semua yang dihafal itu.

Begitupun faktor ini tidak mempunyai kekuatan malah yang sebenarnya masyarakat Arab walaupun jahil tetapi mereka terkehadapan dalam aspek membaca dan menulis itu sendiri.

Setiap tahun mereka akan menganjurkan sayembara atau festival pembacaan natsar (prosa) dan syair (puisi) di pasar raya Ukaz.

Lalu, karya-karya yang memang dan dianggap terbaik akan mendapat penghormatan lalu akan ditulis dan ditampal di dinding-dinding Kaabah.

Fakta ini membuktikan masyarakat Arab zaman itu termasuk suku Quraisy, iaitu keturunan baginda mahir membaca dan menulis.

Namun seperti yang dijelaskan oleh tokoh Islam terkenal, Sheikh Al Maqdisi bahawa individu yang menafsir sejarah dan al-Quran itu sendiri yang keliru terhadap keupayaan dan kapasiti Rasulullah khususnya dalam soal membaca dan menulis ini.

Menurutnya, walaupun benar ummi itu bermaksud sebagai buta huruf tetapi apabila dikaitkan dengan Rasulullah, ummi di sini bermaksud baginda bukan di kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.

Ketika itu, kedua-dua kaum ini sering kali menggelarkan atau sebenarnya mengejek umat yang selain Yahudi dan Nasrani sebagai golongan ummi atau non-Yahudi dan non-Nasrani. Ini termasuklah Rasulullah dan orang Arab yang lainnya.

Malah dalam satu penjelasannya yang panjang, dapat kita ringkaskan apabila keturunan Arab melalui Nabi Ismail sebelum turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad, kaum ini tidak pernah diwahyukan dengan sebarang Kitab Allah.

Lantas kerana itu, kaum ini disebut sebagai kaum ummiyyuun atau ummiyyiin yang bererti "kaum yang belum pernah membaca atau menulis Kitab Allah".

Situasi ini yang menjadikan kaum Yahudi semasa zaman Jahiliah merendah-rendahkan kaum Arab sebagai kaum yang tidak mempunyai kitab.

Mereka begitu bermegah kerana dikurniakan kitab Taurat berbanding kalangan Arab yang tidak mempunyai apa-apa kitab itu.

Sindiran dan ejekan mereka itu mungkin dapat dilihat melalui surah ali-'Imran ayat 75: Tiada yang patut disalahkan bagi kami atas kaum ummiyyii.


UTUSAN MALAYSIA : 29/06/2009

Sambungan.....

06/07/2009

Hikmah Nabi dikatakan ummi

Rencana yang lalu mendapat teguran oleh mereka yang tetap mempertahankan bahawa Nabi Muhammad SAW seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Malah tidak sewajarnya dipolemikkan lagi. Sebaliknya wajib diimani sepenuhnya bahawa dengan dukungan banyak lagi ayat-ayat al-Quran malah catatan sejarah yang lain menunjukkan bahawa baginda tidak tahu membaca dan menulis.

Terutamanya apabila gambar-gambar tulisan tangan baginda seperti yang disiarkan pada keluaran itu dikatakan sebenarnya tulisan tangan milik para 'setiausaha' baginda iaitu sahabat-sahabat besar seperti Saidina Ali Abi Talib, Saad bin Abi Waqas dan Zaid bin Tsabit.

Baginda dikatakan hanya menurunkan cap mohor melalui cincin baginda sebelum surat-surat itu dikirim kepada pihak-pihak berkenaan.

Malah jika kita lebih terkehadapan sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad tidak mempunyai kemahiran membaca dan menulis itu apabila membabitkan satu perjanjian bertulis.

Perjanjian itu ialah gencatan senjata atau lebih dikenali sebagai Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara Rasulullah dengan kaum musyrikin Mekah yang diwakili oleh Suhail ibn Amir, dikatakan merupakan tulis tangan oleh Ali bin Abi Talib, bukannya Rasulullah!

Rasulullah dikatakan hanya meletakkan cap mohor baginda bagi mengesahkan isi kandungan perjanjian itu.

Jadi tiada bukti yang menunjukkan bahawa baginda mempunyai kemahiran untuk membaca dan menulis!

Dalam hal penulisan perjanjian Hudaibiah ini walaupun benar ia ditulis oleh Ali namun ada pihak tetap pertahankan bahawa perkara ini tidak boleh menjadi bukti bahawa Nabi tidak tahu untuk menulis perjanjian.

Ini apabila perjanjian yang dimulakan dengan ayat: "Inilah perjanjian antara Muhammad Rasulullah dengan Suhail ibn Amir". Lalu diprotes atau dibantah oleh Suhail atas ayat tersebut dan mahukan agar 'Muhammad Rasulullah' itu diganti dengan 'Muhammad ibn Abdullah'.

Namun, Ali tidak mahu memadam perkataan Rasulullah itu, sehinggalah Nabi Muhammad sendiri yang memadamkan perkataan itu lalu baginda menulis sendiri menggantikan perkataan itu kepada nama bapanya, Abdullah sebagaimana yang diminta oleh Suhail itu.

Jadi ini menunjukkan baginda ada menulis dan untuk perjanjian sepenting itu jika baginda tidak membaca semula apa yang ditulis oleh Ali adakah baginda mahu meletakkan cap mohor baginda?

Tetapi bagaimana ayat 48 dari surah al-Ankabut yang ditujukan kepada Nabi Muhammad berikut ini dapat anda fahami: Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu: andai kata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari.

Sekali pandang ayat ini, sangat jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad memang tidak pernah membaca dan menulis.

Tetapi dikatakan juga sebenarnya ayat itu menjadi asas bukti sebaliknya, Nabi Muhammad hanyalah merupakan antara golongan ummi atau ummiyyuun seperti yang disebut sebelum ini. Iaitu kalangan Arab yang tidak mempunyai sebarang kitab tidak sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil.

Hanya kerana mahu Nabi Muhammad terpelihara daripada tuduhan membaca dan menulis semula Taurat dan Injil untuk dijadikan versi al-Quran maka kerana itu baginda dikatakan seorang yang ummi.

Lalu apabila kita merujuk pula kepada surah al-Jumuah ayat 2: Dia yang membangkitkan pada kaum Arab (Ummiyyiin) seorang Rasul dari kalangan mereka, membacakan atas mereka ayat-ayat-Nya (al-Quran).

Jadi jelas menjadi bukti bahawa Nabi seorang yang ummi dari membaca dan menulis sebarang kitab Taurat dan Injil. Sehingga diturunkan kepada baginda, al-Quran itu yang merupakan 100 peratus kalam Allah. Sama sekali bukan hasil ciplak atau salinan Taurat dan Injil seperti tuduhan ahli kitab itu.

Bahkan ada yang menyebut adalah tidak sesuai Nabi Muhammad itu ummi sebagai buta huruf tetapi lebih tepat lagi ialah 'Buta Kitab' sebenarnya.

Ini kerana sebelum atau selepas turunnya al-Quran baginda bebas dari mengalami sebarang gejala buta huruf yang sebagaimana yang kita fahami sebelum ini.

Ditambah lagi bahawa kedua-dua kitab tersebut iaitu Kitab Taurat dan Injil ditulis dalam bahasa Hebrew atau Ibrani yang bukan menjadi bahasa pertuturan baginda.

Jadi bagaimana dikatakan baginda tahu membaca kitab-kitab berkenaan kecuali jika ditulis dalam bahasa ibunda baginda.

Namun hikmah dari polemik seperti ini sejajar dengan perjalanan masa di mana semakin berkembangnya ilmu pengetahuan dan al-Quran masih terbuka untuk dikaji terutama dari aspek keindahan bahasanya di samping isi kandungan kitab itu sendiri.

Ini sebagaimana pada dekad-dekad ini banyak sekali ilmu dan fakta ilmiah dan saintifik terutama mengenai fenomena kejadian dan kehidupan dalam al-Quran yang baru dapat ditemui dan difahami sekarang. Iaitu setelah semakin berkembangnya pemikiran dan penyelidikan yang prolifik itu sendiri.

Maka kalau kita kembali semula kepada peristiwa baginda berhadapan dengan malaikat Jibrail di Gua Hira' dan diperintahnya baginda untuk membaca, jadi yang boleh kita fahamkan bahawa baginda tidak tahu apa yang hendak dibacakan, bukannya baginda seorang yang langsung tidak tahu membaca! Wallahu 'alam.

Begitu pun Nabi Muhammad tetap seorang yang genius kerana baginda pemecah bagi segala dan apa juga masalah dan bagaimana boleh dikatakan seorang yang buta huruf itu seorang yang genius. Maka bersandarlah kita kepada lebih banyak kajian dan bacaan!

Namun persoalan mengenai wahyu lebih mendapat perhatian dan bidang kajian mengenainya begitu meluas dan sehingga kini pun masih begitu dibahaskan. Ini kerana dalam terlalu mengkaji dan mendalami terkadang ada kalangan saudara sesama Islam kita yang mengaku menerima wahyu yang membawa pelbagai khabar berita dan perintah baru dari Allah.

Malah dikatakan mendapat 'mesej' dari Nabi Muhammad pun dikatakan mendapat wahyu!

Oleh itu sebagaimana Ibnu Qayyim menyebutkan mengenai martabat-martabat wahyu yang mesti kita ketahui, iaitu:

l Mimpi yang benar. Situasi ini adalah permulaan wahyu yang diterima oleh Rasulullah.

l Wahyu yang dicampakkan oleh malaikat ke dalam fikiran dan hati baginda tanpa baginda melihat malaikat itu. Sebagaimana yang disabdakan Nabi Muhammad: "Sesungguhnya Jibrail meniupkan dalam hatiku bahawa setiap jiwa tidak akan mati melainkan setelah disempurnakan rezekinya,".

Perkataan "Jibrail meniupkan dalam hatiku…" merupakan apa yang dimaksudkan wahyu diterima melalui fikiran dan hati itu.

l Malaikat menjelma di hadapan Rasulullah dalam rupa seorang lelaki lalu berbicara dengannya sehingga baginda benar-benar faham apa yang dikatakan. Pada peringkat ini adakala para sahabat juga dapat melihat malaikat itu.

l Malaikat datang kepada baginda seperti gemersik bunyi loceng. Inilah cara yang paling berat dirasakan oleh baginda. Lalu selepas itu malaikat akan meresap ke dalam diri baginda sehingga peluh baginda memercik keluar walaupun pada hari yang sangat dingin.

Unta yang baginda tunggangi juga akan mengeluarkan bunyi seperti kesakitan sehingga tertunduk ke bumi apabila Nabi SAW menerima wahyu seperti ini ketika baginda sedang berada di atas unta tersebut.

Malah pernah wahyu seperti ini datang ketika paha baginda berada di atas paha seorang sahabat, Zaid bin Tsabit. Lalu Zaid dapat merasakan betapa beratnya seolah-olah seperti hendak remuk tulang peha akibat beratnya Rasulullah menerima wahyu itu.

Baginda melihat malaikat dalam rupa asalnya. Lalu malaikat pun mewahyukan kepada baginda apa yang dikehendaki oleh Allah untuk diwahyukan. Cara ini berlaku dua kali seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah an-Najm.

Allah sendiri yang mewahyukan kepada baginda iaitu ketika baginda berada di atas semua lapisan langit semasa peristiwa Mikraj, iaitu wahyu berkenaan kefarduan solat dan sebagainya.

Allah berbicara dengan baginda tanpa perantaraan malaikat sebagaimana Allah berbicara dengan Nabi Musa bin Imran.


UTUSAN MALAYSIA : 06/07/2009

Rujuk juga kalam IbnuRajab http://ibnrajab.wordpress.com/2009/09/08/sifat-nabi-terpuji-ummiyy/


Artikel ini tidak melambangkan pendirian Abu Farhi dalam polemik ini. Cuma sekadar bahan bacaan dan perbincangan. TQ.






1 comment:

Anonymous said...

salam Man,

artikel ini pun menunjukkan pengaruh orientalis.. ana ttp dgn pendirian dan tafsiran ulama2 dahulu (yg mana mereka hafal al-Quran, hafal beribu2 hadis nabi, tahu kaedah2 fiqhiyyah dll) bhw umminya nabi adalah tidak ada tahu membaca dan tidak tahu menulis. perkara tersebut bukannya kelemahan bg nabi sebaliknya satu mukjizat yg membuktikan kerasulan nabi. kalau nak ikut logik, macamana air blh keluar dr tangan manusia? mcmana nabi blh membelah bulan di atas langit? dan mcmana2 lagi.. ttp perkara itu adalah mukjizat yg perlu difahami oleh kita dan umat Islam. tidak perlu memahami situasi2 mukjizat mengikut fahaman dan sandaran kepada manusia biasa. itu (ummi dll mukjizat) adalah tanda kenabian nabi. wallahu aklam

rujuk artikel ana http://ibnrajab.wordpress.com/2009/09/08/sifat-nabi-terpuji-ummiyy/

wassalam