[Thursday, June 19, 2008 | 0 comments ]
Kecenderungan lepasan sekolah dan graduan universiti menyertai profesion keguruan kini semakin meningkat, sekali gus membuktikan kerjaya itu bukan lagi menjadi pilihan terakhir mereka yang ingin makan gaji semata-mata.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata berikutan itu, persaingan calon yang memohon memasuki institut pendidikan guru (IPG) secara langsung kian sengit.
Malah, beliau berkata, banyak permohonan diterima daripada calon yang bukan saja mempunyai kelulusan cemerlang malah memiliki kelayakan tinggi.
Katanya, calon terbabit membuat keputusan memilih profesion keguruan walaupun boleh menerokai bidang kerjaya lain berdasarkan kelayakan dimiliki.
"Justeru, proses penentuan calon menyertai latihan bidang berkenaan adalah ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dipilih.
"Perkara ini dikenal pasti menerusi instrumen seperti Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST) dan Inventori Sahsiah Keguruan (Insak), selain penilaian temu duga.
"Ini penting kerana program di IPG adalah mencabar selaras tuntutan jaminan kualiti tinggi ditetapkan," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Kementerian Pelajaran menerima 108,394 permohonan dari seluruh negara untuk mengisi 4,726 tempat ditawarkan menerusi enam Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) pada sesi Julai ini.
Pemohon terbabit meliputi 152 calon yang memperoleh keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, diikuti 11A (352), 10A (670), 9A (1,062), 8A (1,428), 7A (2,297), 6A (3,635) dan selebihnya 5A ke bawah.
Jumlah itu jelas menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding 88,171 permohonan diterima daripada lepasan SPM bagi sesi kemasukan tahun sebelumnya.
Bagi program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) pula, 59,176 permohonan diterima untuk mengisi 8,908 tempat ditawarkan sesi Januari 2009, berbanding 56,000 permohonan pada pengambilan sebelumnya.
Meskipun beban kerja guru dikatakan semakin berat serta mencabar, Asariah berkata, faktor itu tidak menjadi penghalang kepada perkembangan pesat bidang kerjaya itu.
Beliau berkata, profesion keguruan memerlukan calon ikhlas dan minat, selain memahami tugas serta tanggungjawab sebagai pendidik, bukan mereka yang mahu makan gaji semata-mata kerana ia akan menjejaskan matlamat kementerian menjana guru berkualiti tinggi.
"Bukan itu saja, calon terbabit juga harus bersedia dan ada kesungguhan azam untuk berkhidmat di mana-mana saja demi kepentingan pelajar. Guru baru harus mengambil kesempatan penempatan di luar bandar dan pedalaman untuk menimba pengalaman yang sukar diperoleh serta amat berguna.
"Bagaimanapun, kita tidak lagi bertanyakan soalan tradisi 'sanggupkah berkhidmat di mana-mana saja jika terpilih' ketika temu duga kerana sudah boleh menjangkakan jawapan calon," katanya.
(Sumber: Berita Harian: 19/06/2008)
No comments:
Post a Comment