Assalamualaikum...

Para pengunjung yang dikasihi!
Blog ini menyajikan info-info tentang apa yang saya ajar, minat dan rasa nak kongsi. Kalau sama-sama minat dan rasa blog ini bermanfaat tu bagus la. Boleh kita link. Salam ukhuwwah!!!

Sunday, November 6, 2022

Penggunaan Internet dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Penggunaan Internet dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pengenalan

 

Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang perindustrian termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti komputer riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain. 

Oleh yang demikian, adalah perlu untuk setiap pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama ada yang berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan meningkatkan minat dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. 

Justeru, pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.

Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap Murid yang mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). 

Koh Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ianya bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya dengan mereka. 

Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang sebaya dengan mereka.

No comments: